Faktor pencetus migrain & rawatan.

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Migrain mungkin berlaku lebih kerap jika adanya faktor pencetus :

  • Makanan: alkohol, buah-buahan sitrus, kafein (kopi, teh), makanan yang mengandungi tyramine (keju, yogurt, kacang dan sebagainya)
  • Persekitaran: merokok atau bilik yang berasap rokok, cahaya terang seperti skrin yang terang atau cahaya yang berkelipan dari rancangan televisyen, bunyi bising, dan bau yang kuat contohnya minyak wangi
  • Psikologi:Kemurungan, cemas, marah, keletihan, tekanan dan sebagaimya. Sesetengah serangan sakit kepala tidak berlaku semasa pesakit mengalami tekanan, tetapi berlaku apabila pesakit berada dalam keadaan yang relaks, sepertimana yang dipanggil ‘migrainhujung minggu’ (weekend migraine)
  • Ubat-ubatan: rawatan hormon, sesetengah ubat tidur dan ubat perancang keluarga.
  • Lain-lain: haid, pertukaran masa tidur, putus haid

Namun begitu kesan daripada faktor-faktor di atas mungkin tidak sama bagi semua pesakit, contohnya untuk sesetengah pesakit serangan migrain tidak menjadi lebih kerap walaupun mereka mengambil keju dan coklat.

a. Rawatan akut:

Tujuan rawatan akut ialah untuk memberikan kelegaan yang segera. Ubat penahan sakit haruslah diambil secepat mungkin apabila tanda-tanda sakit kepala baru bermula, untuk mengurangkan tahap kesakitan atau menghilangkan sakit secara sepenuhnya. Contoh-contoh ubat penahan sakit ialah paracetamol (Panadol), mefenamic acid(ponstan), ibuprofen, diclofenac(voltaren), naproxen(synflex) dan sebagainya.

Rawatan ini boleh diulangi beberapa jam kemudian jika tiada kelegaan. Namun begitu, ubat-ubat ini tidak harus digunakan terlalu kerap kerana ia boleh menyebabkan sakit kepala menjadi lagi teruk jika digunakan berlebihan. Pesakit juga perlu berwaspada dengan kesan-kesan sampingan ubat penahan sakit sebelum mengambilnya, contohnya masalah gastrik dan alahan terhadap ubat sebegini.

Untuk loya dan muntah, pesakit boleh mengambil ubat penahan muntah. Ubat penahan muntah dalam bentuk mudah larut lebih senang diserap oleh badan. Contoh ubat penahan muntah ialah metoclopramide (maxolon)dan prochlorperazine( stemetil).

Ubat daripada kumpulan triptan (contohnya sumatriptan) boleh diambil jika ubat penahan sakit tidak berkesan. Ubat-ubat ini adalah khas untuk migrain dan biasanya ia berkesan untuk mengurangkan atau menghilangkan sakit kepala. Pesakit haruslah mengambil dos pertama dengan awal semasa sakit baru bermula, untuk mendapatkan kesan yang terbaik.

Ergot alkaloid seperti cafergot juga digunakan dalam serangan migrain yang teruk, tetapi ia haruslah dielakkan bagi golongan yang berumur, ibu yang mengandung dan pesakit yang mempunyai masalah jantung.

b. Rawatan pencegahan

Rawatan pencegahan membantu untuk mengurangkan tahap kesakitan serta kekerapan serangan migrain. Ia diberikan apabila sakit kepala menjadi terlalu kuat atau terlalu kerap, dan mula mengganggu aktiviti seharian atau pekerjaan pesakit. Ia haruslah diambil setiap hari secara berterusan, walaupun sakit kepala tidak berlaku pada hari tersebut. Rawatan boleh dihentikan selepas 3 atau 6 bulan jika sakit kepala adalah terkawal.

Contoh-contoh rawatan pencegahan adalah: pizotifen (sandomigran), flunarizine(sibelium), propranolol, sodium valproic(epilim) dan sebagainya. Pilihan ubat adalah berdasarkan kesesuaian dan kesan-kesan sampingan yang dihadapi oleh setiap pesakit.

c. Rawatan tanpa ubatan

Selain mengambil rawatan ubatan, pesakit juga dinasihatkan mengambil rawatan tanpa uabtan untuk mengurangkan serangan migrain seperti ‘relaxation training’, menangani stres, mengelakkan faktor pencetus seperti cahaya yang terang, setengah makanan/minuman, stres dan kurang tidur.

Komplikasi

Jarang sekali, pesakit mungkin boleh mendapat angin ahmar yang berkaitan dengan serangan migrain. Sesetengah pesakit pula mungkin mendapat serangan yang sangat teruk dan berpanjangan yang dipanggil ’status migrainosus’, di mana ubat tahan sakit yang lebih kuat biasanya diperlukan.

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Leave a Replay

Leave a Comment