Apa Itu Migrain?

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest
Migraine

Migrain merupakan salah satu sebab kepada sakit kepala yang berulang. Kira-kira 1 daripada 4 wanita dan 1 daripada 12 lelaki mengidap migrain pada suatu masa sepanjang hayat mereka. Biasanya migrain bermula dari zaman kanak-kanak atau remaja, dan menjadi lebih ketara pada zaman remaja. Umumnya migrain menjadi kurang kerap selepas umur 45-50 tahun, walaupun ada yang mungkin tidak hilang seumur hidup mereka. Punca sebenar migrain masih tidak diketahui. Namun begitu, peluang untuk seseorang mendapat migrain menjadi lebih tinggi jika ahli keluarga terdekatnya juga mengidap migrain.

Migrain secara umumnya boleh dibahagikan kepada 2 jenis yang utama :

  1. Migrain tanpa aura: pesakit mendapat sakit kepala tanpa aura (tanda amaran). Ini adalah 5 kali lebih kerap daripada migrain dengan aura.
  2. Migrain dengan aura: sakit kepala didahului dengan aura.

Gejala-gejala

A. Sakit kepala

Sakit kepala migrain biasanya terjadi pada sebelah kepala sahaja dan biasanya digambarkan sebagai ‘berdenyut’. Kadang-kadang sakit juga boleh dirasai pada kedua-dua belah kepala. Biasanya, kesakitan bertambah secara perlahan-lahan, selepas itu ia beransur pulih dan hilang sepenuhnya selepas 4-72 jam. Kesakitan migrain boleh berada pada tahap sederhana atau sangat sakit. Pesakit mengadu mereka tidak dapat meneruskan kerja atau aktiviti-aktiviti apabila diserang oleh migrain. Serangan migrain mungkin jarang berlaku, contohnya sekali dalam beberapa bulan, atau kadang-kadang lebih kerap contohnya beberapa kali dalam seminggu.

Selain itu, pesakit boleh merasa loya dan kadang-kadang muntah. Semasa serangan migrain, kebanyakan pesakit tidak tahan dengan cahaya yang terang atau bunyi yang kuat, dan mereka lebih selesa berbaring di dalam bilik yang gelap sehingga sakit kepala hilang. Pergerakan kepala juga mungkin menyebabkan kesakitan bertambah.

B. Aura

Aura bermaksud tanda-tanda amaran sebelum sakit kepala. Biasanya ia berlaku selama 1-15 minit. Contoh-contoh aura ialah:

  • Aura penglihatan (visual aura): contohnya kehilang sebahagian daripada penglihatan secara sementara, dan kelipan cahaya seperti garisan zig-zag yang merebak sebelum hilang sepenuhnya dari penglihatan
  • Perasaan kebas pada bibir, muka dan tangan
  • Masalah pertuturan
  • Lain-lain: bau atau perasaan yang aneh, sedikit kekeliruan dalam pemikiran

Sebelum setiap serangan, pesakit mungkin mengalami perubahan dalam perasaan dan selera yang tidak begitu ketara. Perasaan ini bermula beberapa jam atau beberapa hari sebelum sakit kepala yang sebenar. Ini diikuti dengan aura, kemudian sakit kepala. Akhirnya sakit kepala hilang secara beransur-ansur. Pada masa ini pesakit mungkin berasa letih, senang marah, murung dan mungkin menghadapi masalah untuk menumpukan perhatian.

Migrain yang jarang berlaku

a. Migrain semasa haid (Menstrual migrain)

Migrain yang hanya berlaku sekitar haid, tetapi tidak menyerang pada masa-masa lain

b. Abdominal migraine

Biasanya berlaku pada kanak-kanak. Serangan adalah dalam bentuk sakit perut selama beberapa jam tanpa sakit kepala

c. Ocular migraine

Ia menyebabkan kehilangan semua atau sebahagian daripada penglihatan pada sebelah mata, atau kadang-kadang pergerakan mata yang tidak normal.

d. Hemiplegic migraine

Serangan dalam bentuk sakit kepala dan lemah pada satu belah badan. Ia boleh menyebabkan kekeliruan dengan angin ahmar (strok).

e. Basilar-type migraine

Tanda-tandanya termasuk sakit pada bahagian belakang kepala, dan aura yang luar biasa contohnya menjadi buta secara sementara, imej berganda, pening yang memusing, dengung, pertuturan yang tidak jelas dan pening kepala.

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Leave a Replay

Leave a Comment